Disebalik pelbagai kontroversi yang melanda pasukan Kelantan FC, pihak pengurusan kelab tetap memberikan fokus yang terbaik dalam usaha membina semula pasukan dan keluar dari tangga tercorot Liga Super 2023.
Terkini, Kelantan FC sah telah membawa masuk pemain Malaysia yang beraksi di Sepanyol, Allee Putra Azil. Pemain muda berusia 18 tahun itu telah menghabiskan masa lebih dua tahun bersama Akademi Malaga City FC.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan gelaran Zamsaham di laman Facebook rasmi beliau. Allee akan menyarung jersi Kelantan FC bagi baki saingan Liga Malaysia musim ini.
“InshaAllah saudara Allee Putra Azril, akan bersama di musim kedua Kelantan FC. Anak kelahiran Bachok Kelantan yang pernah berada selama 2 tahun di FC Malaga City Akademi, Sepanyol. Beliau selesa bermain di bahagian Midfield dan mudahan boleh membantu TRW nanti. Kita sama-sama doakan kejayaan beliau dan team,” coret Zamsaham di status terbaru Facebook miliknya.
Untuk rekod, Allee berlepas ke Sepanyol untuk mengikuti latihan di Akademi Malaga City FC pada Ogos 2020. Beliau ditawarkan tempat di akademi untuk tempoh dua tahun pengajian. Sepanjang Allee berada di sana, semua kos telah ditanggung oleh firma arkitek, R2 Architect.
Allee bukanlah satu-satunya pemain dari Malaysia yang bersama Akademi Malaga City FC kerana terdapat tiga lagi pemain yang pernah mengikuti pengajian bersama akademi tersebut iaitu Aniq Asri, Mubashshir Azizi dan D. Muniswaran.