Pasukan Liga Super, Kelantan FC menerima hukuman apabila pasukan tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua.
Perkara ini disahkan oleh Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali menerusi satu surat yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdasarkan keputusan jawatankuasa tatatertib badan induk tersebut.
Kelantan dikatakan gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dalam tempoh yang ditetapkan sekaligus menerima hukuman yang sudah ditetapkan ini.
“Memang mereka tidak boleh melakukan sebarang perpindahan pemain, mengambil sebarang pemain dalam jendela perpindahan kedua ini. Kami akui memang ada terima laporan mengenai tunggakan gaji (pemain Kelantan FC) sebelum ini dan perkara itu memang berlaku.”
“Bagi pihak PFAM, saya rasa pasukan Kelantan memang perlu menyerdari kesilapan mereka dan memperbaiki segala kelemahan demi pasukan itu musim depan,” jelas Safee kepada Astro Arena.
Perkara ini susulan kegagalan The Red Warriors untuk melunaskan tunggakan gaji dua orang pemainnya, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Shahrul Nizam Ros Hasni.
Safee bagaimanapun mengesahkan akan ada komunikasi bersama pasukan Kelantan bagi mencari titik tengah berhubung isu ini bagi memastikan perjalanan pasukan dapat dipulihkan.