Kelantan RW Berpeluang Ke Liga Super 2026/27
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) berpeluang layak ke Liga Super musim 2026/27.

Ini selepas Malaysian Football League (MFL) memaklumkan pasukan Pantai Timur itu merupakan pasukan Liga A1 Semi-Pro yang sudah bersedia untuk beraksi di liga berkenaan jika dipilih.

Justeru, status sama ada pasukan itu layak beraksi atau tidak bakal diketahui pada 16 Julai ini. Ini kerana pada tarikh itu, First Instance Body (FIB) akan bermesyuarat untuk menentukan status PDRM FC.

PDRM telah diberikan lesen berserta sekatan (licence with sanction) dengan tempoh pematuhan sehingga 15 Julai ini. PDRM diberi tempoh tersebut untuk mengemukakan maklumat tambahan untuk memenuhi keperluan Kriteria Kewangan serta Kriteria Infrastruktur.

Keputusan FIB ke atas status PDRM FC ini juga akan dipertimbang Ahli Lembaga Pengarah MFL yang akan melihat secara menyeluruh tahap kesediaan dan kelangsungan The Cops untuk menguruskan operasi sepanjang musim 2026/27.

Sekiranya PDRM FC gagal mengemukakan semua dokumen dalam tempoh yang ditetapkan, slot satu lagi pasukan Liga Super 2026-2027 akan diisi Kelantan RW.

Kelantan RW menjadi pilihan kerana telah melengkapkan segala dokumen bagi kriteria kewangan dan dilihat lebih bersedia berbanding dua lagi pasukan Liga A1, UM Damansara United FC dan Bunga Raya FC.

12 pasukan Liga Super sah akan beraksi untuk musim 2026/27. Pasukan-pasukan itu ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Kuching City FC, Star City FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.