Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) mengharungi baki musim 2025/26 tanpa kudrat dua tonggak import, Ifedayo Olusegun dan Prince Aggreh.
Ini kerana wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan Ifedayo Olusegun sudah mencapai persetujuan untuk meninggalkan pasukan itu.
Seorang lagi pemain import iaitu Prince Aggreh sah telah meninggalkan Kelantan TRW baru-baru ini.
“Kelantan TRW dan Ifedayo Olusegun difahamkan sudah capai persetujuan untuk berpisah,” katanya di X.
“Selain penjaring terbanyak Liga Super 2020 dan 2021 itu, Prince Aggreh juga sudah meninggalkan pasukan.”
Semakan di Transfermarkt mendapati Aggreh telah menyertai kelab Bahrain, East Riffa pada 4 Januari lalu.
Situasi ini menyaksikan Abdul Sesay, Albert Sang, Alexandre Yeoule, Damyan Damyanov, Habib Haroon, Hein Htet Aung, Simen Lyngbo dan Yusuf Sesay sebagai tonggak Kelantan TRW.
Aggreh bukan satu-satunya pemain import yang mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Pantai Timur itu. Bekas pemain tengah KL City FC, Sebastian Avanzini turut meninggalkan Kelantan TRW.