Menjelang aksi Liga Super yang menemukan pasukan tercorot, Kelantan United bertamu pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini, Pemangku Ketua Jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor bersikap lebih realistik.
Bagi Nazrulerwan, beliau sedar akan kedudukan JDT yang sudah di tahap yang sangat berbeza musim ini ditambah pula mereka sudah menjaringkan 37 gol setakat ini. Jurulatih berusia 43 tahun itu yakin anak buahnya akan memberikan saingan dalam aksi malam ini.
“Kita kena faham, pasukan JDT berada di tahap yang lain. Kedudukan mereka kini di atas dengan jaringan yang amat-amat besar. Tapi bagi kami, itu bukanlah faktor untuk mengalah awal. Kita akan bersaing dan berikan cabaran dalam padang,” jelas Nazrulerwan kepada wartwawan Astro Arena, Karl Nunis.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai rekod kemenangan besar 7-0 JDT ke atas Negeri Sembilan pada bualan Mac yang lalu, Nazrulerwan telah memberi pesanan kepada anak-anak buahnya supaya mengekang JDT dari menjaringkan terlalu banyak gol.
“Kita kena realistik. Saya memberi pesanan kepada pemain-pemain agar jangan mengalah sebelum berlawan dan cuba sehabis baik. Apa yang kita nak ialah jangan terlampau banyak jaringan yang dihasilkan oleh pasukan JDT,” luah jurulatih berasal dari Johor itu.
Perlawanan JDT dan Kelantan United merupakan satu-satunya aksi Liga Super yang akan dilangsungkan malam ini dan akan disiarkan secara langsung di Astro Arena Bola saluran 803 dan juga di Astro GO.