Advertisement
Kelantan vs JDT: JDT Berpesta Gol Atasi Kelantan
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) FC terus gah di persada Liga Super selepas membelasah Kelantan FC 5-0 di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.

JDT FC membuka tirai jaringan menerusi penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Fernando Forestieri pada minit kesembilan.

Tersentak, anak-anak buah Angel Alfredo Vera cuba bangkit. Malangnya, Harimau Selatan meraih gol kedua menerusi pemain import Filipina, Oscar Arribas pada minit ke-23.

Bersambung pada separuh masa kedua, JDT FC yang dibimbing Tano Solari terus bernafsu memburu gol tambahan. Forestieri menambah gol ketiga Harimau Selatan pada minit ke-60.

Penjaring terbanyak Liga Super musim lepas, Bergson da Silva menghukum kelekaan pertahanan skuad Kijang dengan gol keempat pada minit ke-64.

Pemain gantian, Akhyar Rashid menambah derita The Red Warriors (TRW) dengan sepakan leret menewaskan penjaga gol Irfan Haikal Mohd Iffendi pada minit ke-77.

Keputusan ini memastikan JDT FC terus mendahului Liga Super dengan 51 mata. Sementara TRW pula terus kekal di tangga tercorot dengan empat mata.

Selepas ini, Harimau Selatan akan memberi fokus kepada final Piala FA pada 22 Julai dengan KL City FC sebagai lawan di pentas final.

Manakala Kelantan FC pula memenuhi perlawanan tertunda mereka dengan menentang Kuching City FC di Kuching, Sarawak pada 21 Julai.