Kelayakan Piala Asia B-20: Malaysia & Indonesia Sama Kuat
MakanBola
Timnas Indonesia

Skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) membuka kempen kelayakan Piala Asia B-20 2027 dengan satu mata apabila mengikat Indonesia tanpa jaringan di Vientiane, Laos.

Kedua-dua pasukan sedar mereka perlu memburu kemenangan dalam aksi pertama Kumpulan H. Ini kerana keputusan perlawanan hari ini berpotensi mempengaruhi kedudukan kedua-dua pasukan pada akhir kempen kelayakan.

Bekas pemain SV Darmstadt 98, Amar Brkic berada dalam kesebelasan utama Indonesia. Amar Imran Uzaini Ashadi memikul tugas sebagai kapten dan mengemudi benteng skuad muda negara.

Sebaik wisel perlawanan ditiup, Malaysia berusaha mencari gol awal menerusi gandingan Izzuddin Afif Nazarudin dan Zarul Aidid Mokhtar.

Gandingan Izzuddin Afif dan Zarul Aidid kerap mencemaskan benteng Indonesia menerusi larian-larian ke arah kawasan kotak penalti pasukan itu.

Indonesia juga cuba mencari ruang menerusi Amar, Theodore Evan Leeming dan Reno Salampessy. Malangnya, serangan yang cuba direncana juga tidak berhasil.

Kesukaran kedua-dua pasukan memecah kebuntuan memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, jurulatih skuad Malaysia B-19, Shukor Adan memasukkan Ilhaam Azani Mohd Azamin untuk menambah kreativiti jentera serangan.

Indonesia yang dibimbing Nova Arianto kemudiannya memasukkan pemain tengah muda Sao Paulo, Welber Jardim dan Rafi Rasyiq untuk memantapkan jentera tengah.

Indonesia hampir memecah kebuntuan menerusi sepakan lencong Isfandyar Abdillah. Walau bagaimanapun, percubaannya dinafikan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) III, Faez Iqhwan Muhammad Azmi.

Anak buah Nova terus melancarkan serangan bertali arus untuk memburu gol kemenangan. Walau bagaimanapun, keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata. Kedudukan kumpulan dijangka berubah apabila Laos dan Australia berentap dalam satu lagi aksi kumpulan.

Selepas ini, Malaysia akan berdepan ujian sukar kerana perlu menentang Australia pada 3 September ini. Indonesia pula akan menentang Laos pada hari yang sama.