Skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) bakal berdepan tugas sukar untuk pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2027.
Ini kerana anak buah Nafuzi Zain bukan saja berdepan cabaran kuasa besar Asia, Australia dalam Kumpulan H. Malah, Malaysia juga akan berdepan cabaran musuh tradisi, Indonesia dan Laos dalam kumpulan sama.
Ini berdasarkan keputusan cabutan undi kumpulan kelayakan Piala Asia B-20 yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Malaysia bukan satu-satunya pasukan yang berdepan undian kumpulan sukar untuk pusingan kelayakan Piala Asia B-20. Negara jiran, Thailand dan Vietnam juga berdepan cabaran sama dalam Kumpulan F dan C.
Thailand bakal berdepan tentangan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Turkmenistan dalam Kumpulan F. Kumpulan C pula menyaksikan Iran, Korea Utara dan Palestin akan mencabar Vietnam.
Lapan juara kumpulan bersama tujuh pasukan tempat kedua terbaik kumpulan dan tuan rumah, China akan layak ke Piala Asia B-20 2027 pada Mac 2027.
Pasukan yang menduduki tempat keempat pula akan jatuh ke kelompok Fasa Pembangunan pusingan kelayakan Piala Asia B-20 edisi seterusnya.
Pusingan kelayakan Piala Asia B-20 akan berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September ini di Laos.