Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memaklumkan bahawa beliau tidak bercadang kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Meskipun begitu, beliau tidak menolak untuk menyertai sesi perlawanan latihan secara berkala di Akademi Badminton Malaysia (BAM).
Hal ini dinyatakan bekas juara All England itu apabila ditanya sama ada beliau akan kembali ke BAM atau tidak.
Zii Jia memaklumkan perancangan untuk sesi perlawanan latihan itu masih lagi di peringkat perbincangan. Ini kerana terdapat banyak perkara perlu diambil kira termasuk peraturan badan induk itu.
“Memang ada perancangan untuk sesi perlawanan latihan, tetapi ia perlu dibincangkan lebih lanjut kerana BAM bukan tempat yang saya boleh masuk sesuka hati,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Zii Jia berharap perkara itu dapat direalisasikan dengan tanpa perlu terikat secara sepenuh masa.
Sebelum ini, bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu mengakui sesi latihan bersama kem negara banyak membantunya tampil cemerlang dalam saingan Thomas Cup.
Meskipun beraksi sebagai pemain perseorangan ketiga, Zii Jia berjaya meraih tiga kemenangan. Ini termasuk kejayaan menundukkan pemain nombor 20 dunia dari Jepun, Koki Watanabe.