Kembali Ke Malaysia, Status Rafael Vitor Jadi Tanda Tanya
MakanBola
Amazonas

Kepulangan Rafael Vitor ke pentas bola sepak Malaysia mencuri perhatian selepas bekas pertahanan tengah Penang FC itu kembali menyertai saingan Liga Super 2026-2027 bersama Star City FC. Kehadiran pemain berusia itu pastinya dinantikan selepas beliau sebelum ini meninggalkan negara ini untuk meneruskan karier di Brazil.

Rafael Vitor sebelum ini mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak Malaysia apabila kembali ke negara kelahirannya dan menyertai kelab Serie C Brazil, Amazonas. Keputusan tersebut hadir selepas beliau mencipta pengalaman lebih lima tahun bersama Penang FC dalam saingan Liga Malaysia.

Namun, kepulangannya semula ke Malaysia menimbulkan persoalan mengenai perancangan masa depan pemain pertahanan itu, terutama selepas sebelum ini wujud laporan mengenai minatnya untuk mendapatkan status sebagai pemain tempatan menerusi proses naturalisasi.

Sebelum ini, MakanBola melaporkan bahawa Rafael Vitor berada dalam proses dokumentasi bagi mendapatkan kad pengenalan Malaysia. Beliau juga dilaporkan mempunyai hasrat untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya segala urusan berkaitan proses tersebut berjaya diselesaikan.

Usaha ke arah itu turut mendapat sokongan daripada beberapa pihak ketika beliau masih bersama Penang FC. Malah, dua pemain naturalisasi negara, Endrick dos Santos dan Paulo Josue, dikatakan banyak membantu Vitor dengan berkongsi pengalaman serta panduan berkaitan proses naturalisasi.

“Saya bercakap dengan mereka dengan Paulo (Josue) dan Endrick (dos Santos), mereka membantu saya. Jika saya dapat peluang untuk sertai pasukan kebangsaan semestinya saya akan lakukan yang terbaik untuk Malaysia.

“Dalam proses, mungkin dua minggu atau lebih lagi. Saya sudah lima tahun, saya dapat sokongan Penang, keluarga saya juga gembira di Penang,” jelas Vitor kepada Stadium Astro.

Bagaimanapun, selepas kembali beraksi di Malaysia bersama Star City FC, masih belum diketahui perkembangan terkini mengenai status dokumentasi Rafael Vitor. Sama ada proses tersebut masih diteruskan atau sebaliknya masih belum diketahui.

Kehadiran pemain naturalisasi yang berkualiti sememangnya telah memberi banyak manfaat kepada bola sepak negara apabila mereka mampu menyumbang kepada peningkatan prestasi skuad kebangsaan. Gabungan pengalaman pemain naturalisasi bersama tenaga pemain tempatan juga membantu menjadikan corak permainan skuad kebangsaan lebih tersusun, seimbang dan kompetitif.