Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan bahawa siaran langsung perlawanan Piala Dunia Qatar 2022 bakal disiarkan secara percuma di Malaysia.
Impian puluhan juta rakyat Malaysia tertunai apabila stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) telah mencapai kata sepakat bagi menjadi penyiar rasmi bagi acara sukan terbesar dunia itu.
Menurut Anuar Musa selepas melancarkan program Menjelang Sepak Mula Piala Dunia 2022 Qatar sempena pelantikan RTM sebagai penyiar rasmi acara sukan itu, RTM bakal memberi peluang untuk rakyat Malaysia bergembira melihat acara bola sepak berprestij tersebut.
“RTM akan menyiarkan perlawanan melibatkan negara pada ranking tinggi selain pasukan mempunyai ramai peminat di Malaysia,” jelasnya oleh Bernama.
Oleh itu, dijangka sebanyak 41 perlawanan akan disiarkan oleh RTM iaitu 27 perlawanan secara langsung termasuk perlawanan akhir dan 14 siaran tertunda melibatkan 130 jam siaran secara keseluruhan.
Penyiaran yang menelan belanja mencecah kos sebanyak RM32.5 juta bakal memanfaatkan rakyat Malaysia untuk mengetahui perkembangan sukan bertaraf dunia itu secara percuma menerusi tiga saluran televisyen iaitu TV2, TV Okey, Sukan RTM dan penstriman langsung melalui RTM Klik.
Piala Dunia Qatar yang berlangsung pada November tahun ini dengan slogan ‘Now Is All’ akan dijalankan dengan lapan buah stadium rasmi di Qatar selain penyertaan melibatkan 32 negara bakal menghangatkan saingan kali ini.