Nasib malang menimpa pemain perseorangan wanita Jepun, Aya Ohori yang tergelincir ketika beraksi di Thailand Masters 2024.
Aya Ohori yang turun menentang wakil perseorangan wanita Chinese Taipei, Huang Yu-Hsun pada aksi pusingan pertama berdepan detik ngeri itu di penghujung set penentuan.
Menurut perkongsian oleh pengguna laman sosial yang dikenali sebagai Fatin, menyaksikan Aya Ohori tidak dapat mengimbangkan tubuh badannya sebelum jatuh tersungkur dipercayai akibat lantai licin.
“Aku yang tengok pun sakit”, tulis beliau di kapsyen video tersebut.
Ketika insiden itu berlaku, Aya mahu membalas pukulan ke belakang yang dilakukan Yu-Hsun sebelum jatuh tergelincir ketika sedang mengundur.
Di dalam video berkenaan, jelas kesakitan dirasai Aya terutamanya di bahagian pinggang dan kepala akibat hentakan di lantai.
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu kemudian lantas bangun setelah diperiksa para pegawai perlawanan termasuk jurulatih beliau.
Permainan langsung berakhir memandangkan bulu tangkis tersebut didapati keluar dari gelanggang dan Aya Ohori muncul pemenang dengan keputusan 21-16, 18-21, 22-20.
Aya yang menduduki ranking ke-15 dunia dijadualkan menentang Julie Jakobsen dari Denmark pada pusingan kedua esok.