Kervens Belfort Menang Kes FIFA Terhadap Kelantan FC

Kervens Belfort TRW Kelantan FC Kervens Belfort Menang Kes FIFA Terhadap Kelantan FC
TRW Kelantan FC
Azim Noor @mohdazim45
5:03pm 06/07/2023

Dua hari lepas, bekas jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik berjaya memenangi kes FIFA yang difailkan terhadap pasukan lamanya itu. Hari ini, bekas awang import skuad Kijang, Kervens Belfort pula memenangi kes sama dengan pasukan tersebut.

Perkara ini dikongsikan Belfort di Instagram Storynya hari ini. Tidak diketahui bila saman tersebut dikemukakan kepada tribunal FIFA tetapi ia dijangka menambah kekusutan yang dihadapi pengurusan Kelantan FC.

Belfort menyertai The Red Warriors (TRW) pada musim 2022. Bagaimanapun, penyerang Haiti berusia 31 tahun itu terpaksa diketepikan untuk baki musim tersebut.

Ini selepas mengalami kecederaan jangka panjang dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada 22 Julai tahun lepas.

Walaupun lama diketepikan akibat kecederaan, Belfort antara awang import yang dikekalkan TRW untuk musim 2023. Tetapi pada Februari lepas, ramai penyokong Kelantan FC terkejut apabila bekas penyerang Syrianska itu mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Kijang.

Dengan dua kes FIFA tidak menyebelahi Kelantan FC membabitkan Moon-sik dan Belfort, pengurusan kelab perlu segera menyelesaikan isu tersebut.

Ini bagi memastikan sebarang perancangan membawa pemain baru dalam tetingkap perpindahan kedua ketika ini tidak tergugat.