Advertisements
Lee Zii Jia: Saya Hilang Keyakinan Diri
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia mengakui kesilapan mudah menjadi punca kekalahan beliau di tangan pemain Denmark, Magnus Johannesen baru-baru ini.

Zii Jia ditunjukkan jalan keluar oleh Johannesen dalam aksi pusingan pertama French Open 2024 dengan keputusan 21-15, 21-19.

Ini sama sekali berbeza dengan apa yang berlaku setahun lalu di German Open 2023. Zii Jia berjaya menyingkirkan Johannesen dengan meraih kemenangan mudah 21-11, 21-5.

“Saya mungkin tidak sabar dan banyak melakukan kesilapan mudah. Pukulan-pukulan pertahanannya buat saya hilang keyakinan. Sepanjang perlawanan, saya tidak memiliki sebarang kawalan,” katanya kepada laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Persembahan yang ditampilkan Zii Jia sama sekali berbeza dengan apa yang ditampilkan sebelum ini dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, Indonesia Masters 2024 dan India Open 2024.

Selepas mengalami penyingkiran mengejut di pusingan pertama Malaysia Open 2024, beliau bangkit dengan mara ke suku akhir dua kejohanan yang dinyatakan.

Zii Jia juga turut membantu kontinjen negara bergelar naib juara BATC 2024 selepas dikecewakan China di pentas final.

Kini, beliau berharap dapat bangkit semula untuk All England Open 2024 yang bakal berlangsung pada minggu hadapan.

Bagaimanapun, anak jati Alor Setar, Kedah itu berdepan tugas sukar di pusingan pertama kejohanan. Ini kerana beliau perlu menghadapi pilihan keenam kejohanan dari Jepun, Kodai Naraoka.