Pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne terpukau melihat hantaran yang berjaya dihasilkan pemain Kelantan FC, Ikhwan Yazek.
Hantaran Ikhwan pada masa tambahan babak pertama perlawanan berjaya disempurnakan oleh Fazrul Amir ketika Kelantan mencatat keputusan seri menentang KL City dalam perlawanan kelima saingan Liga Super Malaysia 2023.
Dalam satu temu bual ekslusif Kevin De Bruyne bersama Stadium Astro, beliau telah melihat dan diberi peluang untuk mengulas beberapa jaringan saingan Liga Super Malaysia.
Ketika melihat hantaran yang dihasilkan Ikhwan Yazek, beliau turut memuji ledakan sempurna daripada Fazrul Amir. Beliau menganggap jaringan itu sempurna kerana ia bermula daripada hantaran yang baik dan dinatijahkan dengan rembatan cantik seterusnya menewaskan penjaga gol lawan.
“Hantaran itu begitu cantik sekali dan bila kamu berhadapan dengan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol, pasti kamu akan melalukan yang terbaik.”
Pemain kebangsaan Belgium ini memilih Ikhwan Yazek sebagai assist terbaik daripada empat jaringan lain yang beliau telah tonton. Ketika ditanya mengenai hantaran yang paling beliau gemari, beliau memilih hantaran yang ketiga.
“Saya rasa yang ketiga (Ikhwan Yazek). Cara dia menghantar bola, melepasi pertahanan, sekaligus memudahkan tugas rakan sepasukan untuk menjaringkan gol.”
Video temu bual ekslusif bersama Stadium Astro itu juga memaparkan hantaran terbaik daripada Habib Haroon (Terengganu), Fernando Forestieri (JDT) dan Wan Zack Haikal (Perak).