Penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali dengan panggilan Apek sememangnya terkenal dengan ketangkasan dalam menjaga gawang. Namun pasti ramai tidak mengetahui mengenai sisi berbeza pemain berasal dari Kelantan itu.
Baru-baru ini telah tular foto Apek di media sosial Tiktok yang memaparkan dirinya sedang berniaga makanan di satu gerai. Foto tersebut jelas menimbulkan persoalan di kalangan peminat bola sepak mengenai ‘karier’ baru bekas penjaga gol kebangsaan itu.
Foto yang dimuatnaik pemilik akaun Tiktok Bonjr2000 itu telah merekodkan 85 ribu tontonan sejak dimuatnaik satu hari yang lalu.
Hasil tinjauan di ruangan komen, terdapat penyokong Sabah yang memberikan penjelasan mengenai foto tersebut. Apek dikatakan membantu rakannya berniaga dengan harapan akan ada ramai pembeli yang datang membeli.
Apek menyertai Sabah FC dari pasukan Melaka United pada awal musim 2022. Pemain berusia 34 tahun itu setakat ini sudah merekodkan 35 penampilan dalam dua musim bersama pasukan ‘Sang Badak’.
Khidmat Apek masih diperlukan oleh pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee walaupun terdapat saingan daripada penjaga gol lain, Damien Lim.