Kiasan Misbun Sidek Buat Air Mata Peminat Badminton Gugur
UltraSukan
BA Malaysia

Kiasan legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek menyentuh hai ramai peminat badminton Malaysia baru-baru ini.

Selepas membuka akaun Threads, bekas jurulatih badminton negara itu meninggalkan satu kiasan sebagai hantaran pertama di platform berkenaan.

Kiasan yang dibuat dalam Bahasa Inggeris itu berbunyi, “Apabila hujan sudah berhenti, payung akan menjadi beban kepada semua orang.”

Ramai peminat percaya kiasan itu ada kaitan dengan sebab beliau memilih berkelana ke India dan menerima tawaran sebagai jurulatih Hatsun Badminton Centre.

Seorang peminat bernama M.af.s melihat Misbun sebagai seorang legenda yang sentiasa memberi inspirasi kepada semua.

“Tidak pernah mengecewakan. Sentiasa memberi inspirasi. Selama-lamanya,” katanya di ruang komen.

Seorang lagi peminat bernama Ann508_ pula melihat kiasan ini ditujukan kepada orang-orang yang tidak menghargai jasa legenda seperti beliau.

“Bukan kepada semua tetapi ditujukan kepada orang-orang yang tidak menghargai jasa,” ujarnya.

Pandangan itu dipersetujui seorang lagi peminat bernama Osmannimi. Dia percaya masih ramai orang di luar sana yang menghargai kepakaran dan pengalaman Misbun.

“Bukan untuk semua, Datuk. Masih ramai orang yang menghargai jasa,” katanya.

Ini kali pertama Misbun berkelana ke luar negara sebagai jurulatih. Antara misi beliau ialah mencari seorang lagi pemain yang mampu mencapai taraf dunia seperti yang dicapai Datuk Seri Lee Chong Wei.