Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, menegaskan bahawa anak buahnya tidak berdepan sebarang tekanan menjelang pertemuan menentang kelab Vietnam, Nam Dinh FC, dalam aksi separuh akhir ACC Shopee Cup 2025/2026 yang dijadualkan berlangsung pada Rabu.
Pengendali dari Korea Selatan itu berpendapat corak permainan Selangor kini lebih terarah kepada mendominasi permainan dan bersedia untuk memberi tekanan kepada pasukan Nam Dinh.
“Ciri-ciri dan DNA Selangor adalah sentiasa mahu mengawal dan mendominasi permainan. Nam Dinh juga pasukan yang kuat, tetapi kami tidak berasa tertekan bermain di tempat sendiri. Kami akan menunjukkan keyakinan kami dan cuba memberikan tekanan kepada mereka dari awal lagi,” jelas Pan-gon.
Ketika ditanya mengenai sasaran perlawanan, Pan-gon hanya mahukan kemenangan buat Selangor bagi memudahkan jalan ke pentas akhir kejohanan.
“Keputusan adalah yang paling penting di tempat sendiri. Kami mesti menang sebelum ke tempat lawan untuk mendapat kelebihan. Jika kami ke perlawanan akhir, ia akan memberi impak besar kepada kelab dan penyokong,” tambahnya lagi.
Aksi antara Selangor dan Nam Dinh itu dijadualkan berlangsung pada Rabu, 5 Mei, jam 9 malam di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Manakala satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan Buriram United, dengan JDT bertindak selaku tuan rumah di Stadium Sultan Ibrahim.