Kim Pan-gon Hanya Perlukan 3 Minit Buktikan Sentuhan Magisnya

dion cools 10 Kim Pan-gon Hanya Perlukan 3 Minit Buktikan Sentuhan Magisnya
FA Malaysia
Alif Syazani @SyazaniAlif
7:58am 25/03/2022

Jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon hanya memerlukan tiga minit sahaja untuk skuad kebangsaan menjaringkan gol pertama menentang pasukan Filipina semalam.

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim, Akhyar Rashid menjadi pemain pertama menjaringkan dua gol pada tugasan pertama Kim Pan-gon mengendali Harimau Malaya.

Percaturan Pan-gon dalam menurunkan kesebelasan utama berjaya membuahkan hasil. Pemilihan pemain yang mengikut kebolehan yang ada pada setiap pemain berjaya mencungkil kredibiliti para pemain.

Pan-gon meletakkan Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan Arif Aiman dibahagian hadapan membuktikan ketajaman Harimau Malaya untuk melakukan pelbagai transisi untuk menghasilkan serangan yang merbahaya.

Dibahagian tengah pula, Safiq Rahim, Syamer Kutty dan Kogileswaran berjaya membentuk gandingan yang mantap untuk memastikan penguasaan padang cukup sempurna dan digunakan sebaiknya oleh barisan pemain Harimau Malaya.

Benteng terakhir Harimau Malaya, Shahrul Saad, Khuzaimi Piee, Corbin Ong dan Dion Cools bukan sahaja mempamerkan corak bertahan yang baik bahkan mereka turut hadir membantu ketika pasukan menyerang.