Jurulatih Ulsan HD, Kim Pan-gon mula melakukan rombakan terhadap pasukannya menjelang saingan K-League 1 musim 2025.
Saingan K-League 1 2024 menyaksikan Ulsan muncul juara buat kali ketiga berturut-turut. Walau bagaimanapun, pasukan itu bukan saja terlepas peluang menambah gelaran juara Korea FA Cup 2024.
Malah, The Tigers turut bergelut dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan merekodkan satu kemenangan dan lima kekalahan.
Satu-satunya kemenangan Ulsan diraih ke atas Shanghai Shenhua dalam aksi keenam ACLE pada 4 Disember lalu.
Musim 2025 turut menyaksikan Ulsan bakal berentap dalam saingan Piala Kelab Dunia FIFA yang berlangsung pada pertengahan tahun hadapan.
The Tigers berada dalam Kumpulan F bersama Borussia Dortmund, Mamelodi Sundowns dan Fluminense.
Atas sebab itu, Ulsan mula berbelanja awal dengan mendapatkan pemain tengah muda Yongin, Baek In-woo. Perpindahan pemain berusia 18 tahun itu disahkan The Tigers dalam satu pengumuman di platform media sosial mereka.
Selain In-woo, Ulsan turut dikaitkan dengan beberapa pemain. Antara pemain yang diura-urakan bakal menyertai The Tigers ialah Heo Yool (Gwangju FC), Park Min-seo (Seoul E-Land) dan Lee Hui-gyun (Gwangju).