Jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik memberi jangkaan keputusan aksi menentang Malaysia dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 esok.
Aksi Vietnam vs Malaysia tetap menjadi tumpuan meskipun harapan menyaksikan Harimau Malaya ke pentas Piala Asia telah pun terkubur setelah dikenakan pemotongan mata oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Meski situasi tidak lagi menjadi penentu, kedua-dua negara masih tetap turun dengan barisan terbaik dalam misi meraih kemenangan sekali gus menutup kempen ini dengan penuh cemerlang.
Menurut Kim Sang-sik, sasaran pasukan masih lagi sama iaitu untuk memungut 3 mata di laman sendiri meskipun Vietnam sudah pun melayakkan diri ke Piala Asia sebagai juara kumpulan F.
”Sasaran kami sudah tentunya untuk meraih kemenangan pada perlawanan esok (Selasa). Semua pemain kini dalam keadaan bersedia dan tiada seorang pun alami kecederaan,” komen Kim Sang-sik.
Malah, beliau secara peribadi mengharapkan agar Pahlawan Bintang Emas mampu mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Malaysia apabila turun beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri nanti.
“Bagi pendapat peribadi, saya mengharapkan kami (Vietnam) akan menang (ke atas Malaysia) dengan keputusan 2-0,” ulas jurulatih kelahiran Korea Selatan itu lagi.
Aksi Vietnam vs Malaysia bakal berlangsung pada Selasa, 31 Mac di Stadium Thien Truong, Nam Dinh dengan sepak mula tepat jam 8 malam waktu tempatan.