Kim Sang-sik Waspada Ancaman Dua Tonggak Malaysia
MakanBola
Vietnam FF

Dua pemain sayap Malaysia, G. Pavithran dan Mohamadou Sumareh dilabel ancaman utama Vietnam menjelang aksi separuh akhir kedua ASEAN Hyundai Cup.

Perkara ini dinyatakan jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik selepas melihat persembahan dua pemain berkenaan dalam aksi separuh akhir pertama di Cheras, Kuala Lumpur pada 16 Ogos lalu.

Meskipun Malaysia tewas 2-0, kelibat Pavithran dan Sumareh kerap mencemaskan pemain pertahanan Pahlawan Bintang Emas setiap kali mereka mendapat bola.

Sang-sik mengakui kelibat kedua-dua pemain ini sebagai ancaman kepada Vietnam. Justeru, beliau berusaha merencana solusi terbaik dalam sesi latihan sebelum perlawanan separuh akhir kedua.

“Dalam aksi separuh akhir pertama menentang Malaysia, skuad kebangsaan Vietnam berdepan kesukaran dengan dua pemain Malaysia, pemain nombor 13 (Sumareh) dan 21 (Pavithran).

“Mereka kerap melancarkan serangan merbahaya ke bahagian tengah terutama hantaran dalam kotak penalti. Kita perlu tangani isu-isu ini dalam sesi latihan,” katanya seperti dilaporkan TheThao247.

Sang-sik turut memaklumkan Vietnam akan memberi penekanan kepada kawalan bola. Langkah tersebut bertujuan membantu pasukan itu mengawal perlawanan dan mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol.

Vietnam memiliki kelebihan dua gol menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional My Dinh pada 19 Ogos ini.