Perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao mengetepikan masalah kecederaan yang dihadapi bagi meraih gelaran juara KL Masters Malaysia 2023.
Jun Hao yang juga pemain nombor ke-42 dunia berjaya mengatasi cabaran pemain Taiwan yang juga pilihan utama kejohanan, Lee Chia Hao.
Set pertama menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua pemain. Jun Hao pada satu ketika berjaya meninggalkan Chia Hao pada kedudukan 11-9.
Biarpun berjaya dikejar oleh pemain Taiwan itu, anak jati Kuala Lumpur itu memastikan kemenangan set pertama dengan keputusan 22-20.
Set kedua menyaksikan Jun Hao lebih yakin mengawal tempo permainan. Ini membolehkan beliau mendahului selesa pada kedudukan 11-5.
Begitupun, penyokong negara mula cemas apabila Jun Hao meminta pasukan perubatan memeriksa kecederaan yang dialaminya semasa bermain.
Kecederaan yang dialami beliau tidak menghalangnya daripada mengungguli set kedua dengan keputusan 21-13.
Ini kejayaan BWF Tour Super 100 kedua Jun Hao selepas memenangi Indonesia Masters pada 2022.