Pemain tengah Belgium, Youri Tielemans mengakui kontroversi penangguhan penggantungan pemain Amerika Syarikat (US), Folarin Balogun membakar semangat pasukan itu dalam aksi pusingan 16 Piala Dunia antara kedua-dua pasukan.
Nama Balogun menjadi bualan dunia bola sepak apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menangguhkan hukuman penggantungan beliau selama setahun.
Hal ini mencetuskan kemarahan ramai pihak terutama Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium (RBFA). RBFA kemudiannya mengemukakan protes kepada FIFA berhubung isu tersebut tetapi gagal.
Tielemans kemudiannya mendedahkan sebaik mereka mendengar berita tersebut, barisan pemain Belgium mengadakan mesyuarat. Para pemain sepakat menyatakan cara terbaik menjawab kontroversi itu ialah keputusan di atas padang.
“Sejujurnya, kami adakan mesyuarat lepas kami dengar berita tersebut,” kata Tielemans seperti dilaporkan The Guardian.
“Kami beritahu sesama kami bahawa kami perlu bersuara menerusi permainan mantap di atas padang. Itu yang kami lakukan hari ini. Saya bangga dengan pasukan.”
Apabila diminta mengulas tentang perkara itu, jurulatih Belgium, Rudi Garcia menganggap isu Balogun tidak mengganggu fokus pasukan itu. Malah, Garcia mendedahkan Balogun bertemu dengan beliau selepas tamat perlawanan.
“Beliau mahu bercakap dengan saya, saya gembira dengannya. Itu bukan salah beliau, beliau bukan pihak yang patut dipersalahkan dan itu yang saya beritahu kepadanya,” ujarnya.
Belgium meraih kemenangan bergaya 4-1 ke atas US. Mereka kini akan berdepan Sepanyol di peringkat suku akhir.