Beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Lai menceriakan kem badminton Malaysia dengan mara ke separuh akhir Korea Masters 2023.
Mereka mara selepas mengenepikan cabaran regu tuan rumah, Kim Won-ho dan Jeong Na-eun di pentas suku akhir.
Dari segi rekod pertemuan, Won-ho dan Na-eun memiliki kelebihan pernah menang ke atas regu campuran negara itu sekali. Dengan sokongan penyokong tempatan, kelebihan memihak kepada regu ketujuh dunia itu.
Kekuatan mereka diperlihatkan pada set pertama. Won-ho dan Na-eun memastikan Soon Huat-Shevon ketinggalan jauh sebelum meraih kemenangan 21-12.
Bagaimanapun, regu campuran negara yang menduduki ranking ke-14 dunia itu bangkit mengejar dan memenangi dua set seterusnya.
Soon Huat-Shevon meraih kemenangan 22-20, 22-20 bagi mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Mereka kini menunggu keputusan satu lagi aksi suku akhir membabitkan regu negara Lai Pei Jing-Tan Kian Meng dan regu China, Jiang Zhenbang dan Wei Yaxin. Pemenang aksi ini akan berdepan Soon Huat-Shevon di pentas separuh akhir.