Cabaran kem Malaysia di Korea Masters 2023 berakhir hari ini apabila dua regu campuran negara terkandas di separuh akhir.
Regu nombor 10 dunia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei memulakan cabaran separuh akhir dengan turun menentang regu tuan rumah, Seo Seung-jae dan Chae Yu-jung.
Seung-jae-Yu-jung yang mendapat sokongan padu penyokong mendominasi set pertama. Biarpun cuba dikejar oleh Tang Jie-Ee Wei, regu nombor empat dunia itu meraih kemenangan 21-14.
Tang Jie-Ee Wei cuba memberi tentangan sengit kepada regu tuan rumah dalam set kedua. Bagaimanapun, Seung-jae dan Yu-jung kekal unggul dan meraih kemenangan set kedua 21-17.
Keadaan ini menyaksikan Goh Soon Huat dan Shevon Lai menggalas cabaran Malaysia dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Turun menentang regu China, Jiang Zhenbang dan Wei Yaxin, perlawanan ini dianggap sukar lebih-lebih lagi dengan status lawan sebagai regu campuran nombor enam dunia.
Set pertama menyaksikan Soon Huat-Shevon memberi tentangan sengit kepada Zhenbang-Yaxin. Bagaimanapun, juara Terbuka Perancis 2023 itu kekal tenang sebelum meraih kemenangan 21-19.
Zhenbang-Yaxin kemudiannya selesa mendahului pada set kedua. Biarpun permainan mereka cuba disaingi oleh Soon Huat-Shevon, regu China itu tetap unggul dengan kemenangan 21-15.
Ini dilihat satu pencapaian baik bagi kedua-dua regu terutamanya Soon Huat-Shevon.
Selepas disingkirkan daripada Program Road To Gold (RTG) beberapa minggu lepas, ia menjadi pencetus kebangkitan mereka untuk terus mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik 2024.