Kuching City Hadapi Phnom Penh Crown Tanpa Dua Tonggak
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC bakal membuka kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Phnom Penh Crown tanpa kelibat dua tonggak.

Dua tonggak yang dimaksudkan ialah pemain pertahanan kebangsaan, Jimmy Raymond dan pemain perancang Jordan, Ahmad Israiwah.

Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak memaklumkan Jimmy masih belum dapat diturunkan kerana masalah kecederaan. Israiwah pula masih lagi menjalani proses pemulihan walaupun sudah kembali berlatih bersama pasukan.

“Jimmy Raymond masih tidak dapat bermain disebabkan kecederaan, manakala Ahmad Israiwah pula masih dalam proses pemulihan,” katanya seperti dilaporkan TVS.

Keutamaan Aidil pada ketika ini ialah memastikan barisan pemain The Cats mendapat tempoh pemulihan yang mencukupi sebelum turun menentang Phnom Penh Crown.

“Persiapan seperti biasa. Pemain masih dalam proses pemulihan selepas perlawanan terakhir menentang Melaka dalam saingan Liga Super.

“Kita akan terus memantau keadaan pemain sebelum perlawanan dan melihat siapa yang benar-benar bersedia untuk diturunkan,” tambahnya.

Bisa dua peledak, Ajdin Mujagic dan Jerome Mpacko Etame dijangka menjadi sandaran gol Aidil menjelang aksi pertama Kumpulan H pada 17 September ini.