Kuching City ‘Sambar’ Declan & Ryan Lambert
MakanBola
Kuching City FC

Selepas beberapa musim berkelana di Lembah Klang, Declan dan Ryan Lambert memilih menyertai Kuching City FC.

Perpindahan dua pemain kebangsaan itu diumumkan pengurusan The Cats di semua platform rasmi mereka. Declan dan Ryan menjadi pemain Harimau Malaya terbaru menyertai kelab yang berpangkalan di Kuching, Sarawak itu.

“Ada satu perkara betul tentang khabar angin. Seorang pemain bernama Lambert tiba. Nama itu tidak salah. Ceritanya sahaja.

“Lahir bersama. Dibentuk melalui permainan. Kini, mereka berdiri bersama di City of Unity,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengalaman Declan dan Ryan cukup penting tatkala Kuching City bakal mengharungi kempen Shopee Cup dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2026/27.

Ini kerana kedua-duanya sebahagian daripada skuad Kuala Lumpur City FC (KL City) yang bergelar naib juara Piala AFC (kini ACL2) pada 2022.

Declan dan Ryan menyertai bekas rakan sepasukan di KL City, Safawi Rasid. Selain mereka, Kuching City turut merekrut Nazmi Faiz Mansor, Dylan Wenzel-Halls, Irfan Zakaria, Gabriel Peres, Kaishu Yamazaki dan Ajdin Mujagic.

The Cats turut menceriakan penyokong apabila mengumumkan Petrus Shitembi kekal bersama pasukan itu baru-baru ini.