Kelantan FC meraih mata pertama dalam tempoh 126 hari apabila berjaya mengikat Kuching City 2-2 di Stadium Negeri, Kuching hari ini.
Kuching City FC yang dibimbing pemangku jurulatih Firdaus Morshidi dikejutkan dengan gol awal pelawat pada minit keempat menerusi Hafizan Ghazali.
Tersentak, Il Gatto cuba bangkit mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal memihak kepada pelawat sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Kuching City FC menggandakan asakan dan berjaya meraih gol penyamaan menerusi Abu Kamara pada minit ke-58.
Tuan rumah kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-68. Kamara mudah menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol skuad Kijang, Johan Shahzidane Tendot.
Dengan Kelantan FC berdepan kemungkinan satu lagi kekalahan, pemain import Indonesia, Natanael Siringoringo melepaskan sepakan percuma kencang menewaskan Norazlan Razali untuk gol penyamaan pelawat pada minit ke-79.
Keputusan ini mengekalkan kedua-dua pasukan di kedudukan tercorot dengan Kuching City FC di tangga ke-12 dan Kelantan FC di tangga ke-14.
Selepas ini, Il Gatto bakal berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 29 Julai. Manakala Kelantan pula bertandang ke Stadium Cheras pada hari sama untuk menentang KL City FC.