Peledak berbisa Perancis, Kylian Mbappe mendedahkan sebab beliau meraikan golnya bersama jurulatih pasukan itu, Didier Deschamps.
Selepas menyumbat gol dalam aksi pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia menentang Sweden, Mbappe segera berlari ke tepi padang dan meraikan gol bersama Deschamps.
Penyerang Real Madrid itu turut memeluk legenda Les Bleus itu sebelum permainan antara kedua-dua kembali bersambung.
Apabila ditanya sebab beliau melakukannya, Mbappe memaklumkan ini dibuat sebagai tanda sokongan kepada Deschamps selepas kehilangan ibunya baru-baru ini.
“Berpelukan dengan Deschamps selepas menjaringkan gol? Itulah DNA kumpulan ini.
“Jurulatih telah mengharungi situasi mencabar (kematian ibu tercinta) dan kita semua bersama beliau dan akan terus menyokong beliau,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
Perkara sama turut dikongsikan rakan sepasukan dan pemain tengah Real Madrid, Aurelien Tchouameni. “Kita tahu jurulatih sedang mengharungi pelbagai perkara.
“Kita akan cuba lakukan segala-galanya untuk membuatkan beliau gembira sebaik mungkin. Hari ini, kami telah melakukan tugas kami,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.
Perancis meraih kemenangan 3-0 ke atas Sweden. Selain Mbappe, Bradley Barcola turut mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan sama.
Les Bleus kini akan berdepan pasukan Amerika Selatan, Paraguay untuk merebut tiket ke suku akhir.