Kapten Perancis, Kylian Mbappe menegaskan pasukan itu lebih baik daripada Paraguay kerana sentiasa mengamalkan corak permainan menarik dan sedia berjuang di atas padang.
Hal ini ditegaskan penyerang Real Madrid itu selepas aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang pasukan Amerika Selatan itu.
Paraguay dilihat berusaha menyekat Perancis dengan melakukan kekasaran sepanjang perlawanan berlangsung. Malah, beberapa pemain pasukan itu cuba mengganggu fokus Mbappe sebelum menyempurnakan penalti pada minit ke-70.
Atas sebab itu, Mbappe menegaskan bahawa Perancis mahu bermain bola sepak dan menunjukkan cara untuk melakukannya.
“Paraguay tak mahu bermain bola sepak dan kita tunjukkan kepada mereka bahawa kita tahu cara untuk bermain. Kita menang dan kita lebih baik daripada mereka,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
Mbappe turut mengingatkan mana-mana pasukan bahawa taktik keras yang cuba digunakan Paraguay tidak akan berkesan kepada Perancis.
“Jika mereka mahu kita lebih fizikal, kita akan lakukannya. Mereka (Paraguay) ingat kita akan muncul dengan tuksedo untuk bermain tetapi kita pun tahu cara bermain bola secara fizikal.
“Kita tunjukkan kita bukan saja satu pasukan yang tahu cara bermain bola sepak secara menyerang,” tambahnya.
Perancis dijadual bertemu Maghribi di peringkat suku akhir. Maghribi mara selepas menewaskan Kanada 3-0 dalam satu lagi aksi pusingan 16 pasukan terbaik.