Paraguay menamatkan kempen Piala Dunia FIFA di pusingan 16 terbaik selepas dikecewakan Perancis dalam perlawanan yang cukup sengit awal pagi Ahad sebelum Les Bleus berjaya melangkah ke suku akhir.
Perancis bergelut sepanjang 90 minit sebelum menewaskan Paraguay 1-0 di Stadium Philadelphia dengan Kylian Mbappé hanya mampu memecahkan kebuntuan menerusi sepakan penalti.
Ketua jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro membuat tiga pertukaran dengan Omar Alderete, Gustavo Velázquez dan Diego Gómez diturunkan dalam kesebelasan utama, manakala pengendali Perancis, Didier Deschamps hanya melakukan satu pertukaran apabila Manu Koné menggantikan Aurélien Tchouaméni yang bermula di bangku simpanan.
Selepas separuh masa pertama berakhir 0-0, Perancis akhirnya diberikan peluang keemasan pada minit ke-70 apabila Desire Doue yang masuk sebagai pemain gantian dikasari di dalam kotak penalti. Kylian Mbappé tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk memberikan kelebihan buat Les Bleus.
Kelebihan 1-0 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan di mana Perancis menang tipis ke atas Paraguay. Perancis menepati ramalan sebagai pasukan pilihan untuk lolos ke pusingan suku akhir dan bakal bertemu Maghribi pada 10 Julai.