Kylian Mbappé ‘Tapau’ 3 Rekod Baharu Sekaligus
MakanBola
Equipe de France

Ayam tambatan Perancis, Kylian Mbappe melakar 3 rekod baharu setelah menjaringkan gol ketika menumbangkan Senegal dalam perlawanan Piala Dunia FIFA 2026.

Kelibat Kylian Mbappe menjadi tumpuan peminat apabila penyerang Real Madrid itu berjaya mencetak dua gol untuk membantu Perancis mengatasi cabaran hebat Senegal 3-1 dan membuka kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan.

Lorongan cantik Michael Olise disambar pantas oleh Kylian Mbappe pada minit ke-66 untuk jaringan pembukaan perlawanan sebelum sepakan jarak jauhnya pada masa tambahan melengkapkan kemenangan bergaya 3-1 buat Perancis.

Di sebalik dua gol tersebut, Kylian Mbappe berhasil memecahkan 3 rekod baharu apabila muncul sebagai penjaring terbanyak Perancis sepanjang zaman selepas memintas rekod jaringan milik Olivier Giroud dengan 57 gol sebelum ini.

Malah, penyerang berusia 27 tahun itu juga bergelar penjaring terbanyak untuk Perancis di pentas Piala Dunia dengan 14 gol, satu gol mengatasi Just Fontaine setelah hanya beraksi dalam 15 perlawanan dalam kejohanan berprestij ini.

Dengan 14 gol di sepanjang aksi Piala Dunia ini, Kylian Mbappe sudah pun memintas rekod jaringan lagenda Brazil dan dunia, Pele yang mencetak 12 gol selain ‘memotong’ Lionel Messi (13 gol) yang masih belum bermain setakat ini.

Nama Kylian Mbappe kini berada di kedudukan ketiga penjaring terbanyak Piala Dunia, berkongsi statistik 14 gol bersama bekas pemain Jerman, Gerd Muller dan berpeluang kekal di posisi tersebut sekiranya Lionel Messi tidak menambah akaun gol.

Selain Mbapee, satu lagi jaringan Perancis pada aksi tersebut disumbangkan oleh pemain gantian, Bradley Barcola pada minit ke-82 permainan sebelum Senegal sempat menjaringkan gol pertama menerusi Ibrahim Mbaye selang 8 minit kemudian.

Kemenangan bergayaPerancis ini meletakkan juara Piala Dunia dua kali ini di kedudukan teratas kumpulan I selepas satu perlawanan dengan Iraq serta Norway bakal menjadi lawan seterusnya pada 23 Jun dan 27 Jun hadapan.