Skuad Harimau Malaya dijangka akan menerima seorang lagi pemain pertahanan kanan selepas sebelum ini telah mendapatkan khidmat Matthew Davies dan Dion Cools.
Pemain Go Ahead Eagles di Belanda, Mats Deijl dijangka bakal menyarung jersi Harimau Malaya tidak lama lagi dan perkara tersebut telah disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Jika ianya berjaya direalisasikan, sudah pasti pengendali Harimau Malaya, Pau Marti akan ‘pening kepala’ pemain manakah yang akan diletakkan di posisi pertahanan kanan.
Mats Deijl merupakan pemain pertahanan kanan buat kelabnya di Belanda, manakala Dion Cools turut beraksi di posisi yang sama di Buriram United. Matthew Davies pula sudah mula beraksi di posisi pertahanan tengah bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak beberapa musim yang lalu.
Namun begitu, ketiga-tiga pemain ini mampu beraksi di pertahanan tengah walaupun posisi pertahanan kanan merupakan posisi asal buat mereka.
Kehadiran Mats Deijl bukan sahaja dapat menambah kualiti di bahagian pertahanan namun turut mampu menghasilkan serangan pantas dari sebelah kanan.
Selain beraksi di pentas tertinggi di Belanda, Mats Deijl kini turut dipilih untuk menjadi ketua pasukan Go Ahead Eagles bagi saingan liga musim ini.
Persaingan sengit dijangka akan berlaku di dalam kem Harimau Malaya selepas Mats Deijl hadir ke dalam pasukan tidak lama lagi.
Selain Mats Deijl, Malaysia turut bakal menerima seorang lagi pemain yang beraksi di luar negara iaitu Wan Kuzain yang sudah selesai menyelesaikan segala urusan berkaitan dokumentasi.
Namun begitu, hasrat untuk melihat aksi Kuzain di saingan Pestabola Merdeka 2024 tidak menjadi kenyataan selepas pemain itu kini dalam proses pemulihan daripada kecederaan yang dialami.