Persediaan latihan sepakan penalti berjaya membantu penjaga gol Negeri Sembilan, Syahmi Adib tampil cemerlang ketika berdepan Selangor dalam aksi Piala FA tempoh hari.
Syahmi Adib yang diberi peranan sebagai penjaga gawang oleh ketua jurulatih Negeri Sembilan, Azzmi Aziz, membalas kepercayaan tersebut dengan aksi positif meskipun skuad Rusa tumpas 0-4 di tangan Selangor.
Momen Syahmi menyelamatkan sepakan penalti pemain import, Ronnie Fernandez pada minit ke-64 berjaya membuatkan ramai kagum dan aksi itu turut mendapat perhatian Azzmi Aziz di bangku simpanan.
Menerusi sidang media selepas perlawanan, Azzmi memuji persembahan pemain muda yang dipinjamkan daripada Selangor FC itu meskipun turun dalam perlawanan pertamanya bagi musim ini.
“Bagus untuk Adib hari ini yang juga perlawanan pertama untuknya, dia sebenarnya pemain pinjaman dari Selangor juga. Kita tahu dia ini baru (berusia) 22 tahun dan hari ini kita memilih untuk menurunkan dia,” ujar Azzmi kepada media.
Tambah Azzmi lagi, beliau sememangnya yakin dengan kebolehan Adib menyelamatkan sepakan penalti dan perkara ini telah dibuktikan oleh bekas penjaga gol Malaysia bawah 19 tahun itu ketika sesi latihan.
“Sangat positif situasi (sepakan penalti) tadi, tetapi saya secara peribadi yakin dia akan selamatkan bola itu sebab saya tahu dalam sesi latihan kita, memang kita bersedia berlatih sepakan penalti dalam aksi kalah mati ini.”
“Kita tengok dia selamatkan banyak penalti dalam latihan dan saya pun yakin dia akan selamatkan bola itu juga,” tambah Azzmi yang pernah mengendalikan PDRM musim lepas.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, dua gol menerusi pemain import Selangor, Yohandry Orozco dan Alvin Fortes menyebabkan Negeri Sembilan terpaksa akur tersingkir daripada saingan Piala FA.
Saingan Liga Super 2024/2025 akan kembali bersambung selepas ini dan Negeri Sembilan bakal melayani kunjungan KL City pada 21 Jun di Stadium Tunku Abdul Rahman dengan sepak mula dijadualkan bermula jam sembilan malam.