Pengendali Negeri Sembilan FC, Azzmi Aziz melihat pasukan gergasi Lembah Klang, Selangor FC sebagai pasukan kedua terbaik selepas Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat pasukannya menjadi mangsa belasahan Merah Kuning buat kali kedua dalam aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA semalam.
Selepas berjaya meraih kemenangan 4-0 dalam aksi Liga Super pada akhir Mei lalu, Selangor dilihat pasukan pilihan bila menentang skuad Rusa.
Kehadiran bintang Merah Kuning, Faisal Halim di Stadium MBPJ semalam mendorong Selangor membelasah Negeri Sembilan 4-0.
Dua gol masing-masing disumbang oleh Yohandry Orozco dan Alvin Fortes memastikan Merah Kuning menempah tiket ke pusingan suku akhir.
Azzmi melihat kekuatan pemain yang dimiliki pasukan gergasi Lembah Klang itu menyebabkan pasukan itu sukar dicabar skuad Rusa.
“Gol mudah, gol lembut bagi dekat Selangor. Kita orang kena akui dari awal, mereka memang satu pasukan yang bagus selepas JDT.
“Tapi bila kita tak cukup mantap, tak persembahkan apa yang lebih baik atau yang kita jangka macam mana kita buat persiapan untuk perlawanan ini, secara serius sangat mengecewakan untuk saya.
“Saya rasa (persembahan pasukan kali ini) amat teruk, macam mana ya agak teruklah untuk saya. Saya rasa macam tak seronok (bila) benda itu (berlaku),” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan Selangor-Negeri Sembilan semalam.
Selepas tersingkir daripada Piala FA, fokus Negeri Sembilan seterusnya ialah perlawanan liga menentang KL City FC pada 21 Jun ini.