Usaha keras yang ditampilkan oleh tonggak tengah Selangor, Alex Agyarkwa mendapat pujian dan perhatian ketua jurulatih, Nidzam Jamil.
Nidzam yang ditemui selepas aksi berdepan Negeri Sembilan dalam pusingan 16 terbaik Piala FA berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dan gembira dengan kemenangan yang dicapai anak-anak buahnya.
”Sudah tentu, saya ingat untuk Piala FA atau apa-apa keputusan yang positif yang membawa kita ke peringkat seterusnya, saya rasa kita amat gembira,” katanya ketika sidang media pasca perlawanan.
Baginya, pemilihan Agyarkwa ke dalam senarai barisan utama adalah disebabkan oleh kerja keras pemain kelahiran Ghana itu di dalam sesi latihan selain keadaan Noor Al Rawabdeh yang baru sahaja pulang dari tugasan antarabangsa.
”Kita ada peluang untuk menurunkan Noor (Al Rawabdeh) dan Noaa (Laine) tetapi saya rasa Alex (Agyarkwa) berlatih dengan sangat baik minggu ini. Kebetulan Noor baru balik tiga hari lepas dalam keadaan saya rasa kita mengambil risiko dengan merehatkan dia dan meletakkan Alex.”
Disebabkan oleh prestasi Agyarkwa semasa sesi latihan, Nidzam dan barisan kejurulatihan menaruh kepercayaan yang tinggi untuk meletakkan beliau mengemudi jentera tengah pasukan ketika menentang Negeri Sembilan.
“Saya rasa Alex untuk dua tahun ini beraksi sangat cemerlang untuk kita. Dalam satu dua minggu ini, Alex berlatih sangat baik dan kita mempunyai kepercayaan sangat tinggi terhadap Alex,” ujar jurulatih berusia 44 tahun itu.
Pada perlawanan tersebut, dua import Selangor iaitu Yohandry Orozco dan Alvin Fortes masing-masing meledak dua gol untuk memastikan kemaraan Selangor ke peringkat suku akhir Piala FA musim ini.
Di peringkat suku akhir nanti, Selangor telah dijadualkan untuk menentang kelab dari Sarawak, Kuching City yang mempamerkan kebangkitan untuk menumbangkan KL City di Cheras pada Jumaat.
Saingan Liga Super 2024/2025 akan kembali bersambung minggu hadapan dengan Perak bakal menjadi lawan seterusnya The Red Giants di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya