Aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dijangka meriah.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan lebih 40,000 tiket perlawanan sudah terjual. Jumlah ini tiga kali ganda berbanding lebih 11,000 tiket yang diumumkan pada 3 Jun lalu.
Angka ini dilihat lebih ramai berbanding aksi terakhir Harimau Malaya di SNBJ pada 20 Disember lalu.
Aksi peringkat kumpulan ASEAN Championship 2024 antara Malaysia dan Singapura pada ketika itu menarik kehadiran 31,127 orang.
Angka ini dijangka bertambah terutama pada hari perlawanan. Ini ditambah dengan gesaan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski yang ingin melihat penyokong membanjiri SNBJ.
“Tiada yang lebih baik daripada stadium yang penuh. Bila kita tahu semangat dan budaya bola sepak Malaysia, sedar bahawa adanya semangat (terhadap bola sepak) di negara ini yang menjadi sebab saya di sini.
“Saya merayu kepada semua penyokong dan berharap semua Ultras dapat bersatu. Semua penyokong Malaysia (diminta) hadir ke SNBJ malam esok (malam ini).
“Mereka akan berjuang habis-habisan, mereka akan berusaha sebaik mungkin. Mereka akan berikan segalanya atas padang untuk menghantar anda semua pulang dengan gembira bersama kemenangan,” katanya.
Malaysia berharap dapat menambah kemenangan dalam Kumpulan F. Sebelum ini, Harimau Malaya menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi pertama kumpulan pada Mac lalu.