Lebih banyak kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) berpeluang membuat penampilan di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) bermula pada musim hadapan.
Ini kerana Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuat mengemukakan beberapa saranan untuk menambah baik kualiti ACLE.
Pertama, bilangan pasukan untuk saingan ACLE ditambah daripada 24 pasukan kepada 32 pasukan. Penambahan pasukan ini menyaksikan 16 pasukan akan berentap untuk sektor Timur dan Barat ACLE.
Kedua, hanya enam pasukan teratas liga sektor Timur dan Barat ACLE dijamin layak secara terus ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Pasukan yang menduduki ranking keenam hingga ke-10 pula perlu mengharungi pusingan playoff untuk layak ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Meskipun begitu, Jawatankuasa Pertandingan AFC mengambil kira kalendar pertandingan yang cukup padat pada ketika ini.
Justeru, mereka mencadangkan pusingan playoff tidak dilaksanakan pada musim 2026/27 tetapi pada musim berikutnya.
Kesemua cadangan ini perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Eksekutif AFC sebelum ia menjadi kenyataan.
Sekiranya semua berjalan lancar, negara ahli AFC berpeluang mendapat slot tambahan ke ACLE termasuk Malaysia.
Ini sekaligus menyaksikan beberapa pasukan Liga M berpeluang layak dan mengiringi juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) ke pentas ACLE musim hadapan.
Buat masa ini, hanya juara Liga Super saja yang layak secara merit ke ACLE. Naib juara Liga Super pula layak secara merit ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).