Lee Tuck Atlet Malaysia Pertama Sertai Hyrox Elite 15
MakanBola
FA Malaysia

Bekas pemain Harimau Malaya, Lee Tuck mencipta sejarah tersendiri dalam saingan Hyrox peringkat Asia Pasifik (APAC).

Ini kerana Tuck merupakan wakil Malaysia pertama tersenarai dalam perlumbaan Hyrox Elite 15 APAC.

Pencapaian itu dikongsikan pencipta kandungan digital, Kapten (Bersara) Hamon Raeiz Abd Hamed, 40, atau Raeiz Hamed dalam satu hantaran di Instagram.

Raeiz yang juga jurulatih Hyrox menyifatkan perkara ini sebagai satu detik membanggakan buat Tuck dan Malaysia.

Ini kerana ini memberi peluang kepada juara Asia itu bersaing dengan atlet-atlet Hyrox elit bertaraf antarabangsa.

“Buat pertama kali, Malaysia mempunyai wakil dalam Elite 15 dalam perlumbaan Hyrox APAC.

“Lee Tuck, bekas pemain bola sepak profesional Malaysia melangkah ke pentas terbesar, bersaing dengan yang terbaik untuk mendapatkan tempat di Kejohanan Dunia Hyrox di Stockholm.

“Ini lebih daripada sekadar perlumbaan. Inilah detik untuk Hyrox Malaysia. Detik yang membuktikan bahawa kita tergolong dalam golongan elit,” katanya.

Tuck dijadual bakal bersaing dalam APAC Regional Championships di Brisbane, Australia dari 10 hingga 12 April ini.

Sebaik hantaran itu disiarkan di Instagram, ramai rakan pemain dan atlet memberi sokongan kepada bekas pemain berusia 37 tahun itu.

Antaranya Liridon Krasniqi, bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi dan pemenang pingat Sukan SEA, Saddam Pittli.