Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia pergi ke Kedutaan Amerika Syarikat (US) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ini selepas kedatangan beliau dikongsikan kedutaan negara Uncle Sam itu di semua platform rasmi mereka.
“Dari KL ke LA! Kami teruja untuk mengalu-alukan bintang badminton Malaysia, Lee Zii Jia dan pasukannya ke kedutaan US hari ini tatkala mereka bersedia untuk kejohanan yang akan diadakan di Los Angeles.
“Sukan memiliki cara unik menyatukan dua negara bersama dan kami tidak sabar melihat Lee Zii Jia mempamerkan bakat hebatnya di atas gelanggang Amerika,” katanya dalam satu kenyataan.
Semakan di kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) mendapati satu-satunya kejohanan yang dinyatakan ialah Terbuka US 2026.
Terbuka US yang bertaraf Super 300 bakal berlangsung dari 23 hingga 28 Jun ini di Fullerton, California. Kejohanan itu menawarkan hadiah kemenangan sebanyak AS$250,000 (RM990,000).