Jaguh perseorangan utama negara, Lee Zii Jia kembali menghuni kedudukan ketujuh dunia.
Ini selepas Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) menyiarkan kemas kini ranking terbaru pemain badminton dunia selepas tamat saingan India Open 2025.
Meskipun terpaksa melupakan tiga kejohanan awal tahun termasuk India Open 2025, Zii Jia kini menduduki ranking ketujuh dunia. Sebelum ini, beliau berada pada kedudukan kelapan dunia.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu kini di hadapan Chou Tien-Chen, Kodai Naraoka dan Lakshya Sen.
Kelompok tiga pemain perseorangan terbaik dunia masih tidak berubah. Shi Yuqi kekal menghuni kedudukan nombor satu dunia diikuti oleh Anders Antonsen dan Jonatan Christie.
Kejayaan bergelar juara India Open 2025 kembali meletakkan Viktor Axelsen dalam kelompok lima pemain terbaik dunia. Beliau kini menghuni kedudukan keempat dunia.
Perubahan ranking terbaru ini dijangka menyuntik semangat Zii Jia untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Juara Australian Open 2024 itu dijangka kembali menggegar Jelajah Dunia BWF dengan menyertai saingan All England Open 2025 pada Mac ini.