Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia tidak mahu memandang rendah kemampuan lawan-lawan yang bakal dihadapinya di temasya Sukan Olimpik Paris.
Turun dalam aksi pertama pada Ahad, Zii Jia tampil penuh bertenaga bagi mencatatkan kemenangan mengatasi wakil Sri Lanka, Viren Nettasinghe dalam perlawanan yang memakan masa xx minit.
Pemain kelahiran Kedah ini hanya memerlukan dua set untuk menutup perlawanan pertama dengan kemenangan bersih 21-14, 21-12 sekaligus hampir pasti mengesahkan tempatnya ke peringkat kalah mati.
Menurut Zii Jia, tidak mudah untuk bersaing menentang Nettasinghe yang sudah pastinya pemain terbaik di Sri Lanka sehingga berjaya melayakkan diri ke Paris kali ini.
”Saya rasa dia (Viren Nettasinghe) pun bukanlah lawan yang mudah untuk bermain dan untuk berada di Olimpik ini sudah pasti dia antara pemain terbaik di negaranya,” kata Zii Jia kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani.
Tambahnya lagi, gelaran juara Australian Open dan Thailand Open sebelum Olimpik tempoh hari banyak membantu dari segi moral namun itu bukanlah jaminan baginya mengambil mudah pemain lain.
”Bagi saya, (dua kejuaraan sebelum ini) ada meningkatkan keyakinan saya juga sebelum masuk ke Olimpik tetapi di sini semuanya bermula dengan kosong kembali,” tambah pemain berusia 26 tahun itu.
Oleh itu, Zii Jia bersedia dengan segala persiapan yang rapi untuk elakkan sebarang kekecewaan memandangkan segala kemungkinan boleh berlaku di pentas sebesar Olimpik ini.
“Apa-apa pun boleh berlaku, saya mungkin dikecewakan selepas ini, kita tak tahu apa akan berlaku tetapi saya masih perlu melakukan persiapan dan pastikan semuanya bersedia di atas gelanggang.”
Aksi kedua peringkat kumpulan G akan menemukan Zii Jia dan pemain di ranking ke-63 dunia dari Sepanyol, Pablo Abian pada Selasa ini.