Advertisement
“Kenapa Dengan Jari Lee Zii Jia?”
UltraSukan
UltraSukan
Olympic Malaysia

Keadaan jari jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia selepas perlawanan Kumpulan G Sukan Olimpik 2024 menarik perhatian ramai peminat badminton Malaysia.

Bekas juara All England 2021 itu turun ke gelanggang untuk membuka tirai cabaran Kumpulan G. Selain Zii Jia, kumpulan itu turut mengandungi Viren Nettasinghe dari Sri Lanka dan Pablo Abian (Sepanyol).

Pemain nombor tujuh dunia itu membuka kempen Olimpik keduanya dengan kemenangan apabila menewaskan Nettasinghe dengan keputusan 21-14 21-12.

Selepas perlawanan, satu gambar Zii Jia yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani mencuri perhatian peminat sukan negara.

Juara Thailand Open 2024 itu dilihat meninggalkan gelanggang dengan satu jarinya berbalut. Ini menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat sama ada Zii Jia mengalami kecederaan semasa perlawanan.

Ini kerana kecederaan itu tidak kelihatan semasa beliau menjalani persiapan untuk kempen Sukan Olimpik 2024 termasuk di Malaysia. Satu-satunya kecederaan yang diketahui penyokong ialah kekejangan otot yang dialami Zii Jia beberapa bulan lalu.

Kecederaan tersebut mengakibatkan beliau terpaksa melupakan hasrat bertanding dalam saingan Singapore Open 2024.

Ramai peminat berharap kecederaan jari yang dialami finalis Malaysia Masters 2024 itu tidak serius menjelang aksi Kumpulan G yang seterusnya.

Zii Jia bakal turun menentang Abian untuk aksi kumpulan seterusnya pada 31 Julai ini.