Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui tidak menyangka Malaysia perlu bekerja keras sebelum menewaskan England 3-2 dalam aksi pertama Kumpulan B Thomas Cup.
Aksi tersebut menyaksikan dua wakil perseorangan negara, Justin Hoh dan Aidil Sholeh tewas kepada lawan masing-masing.
Hal ini menyaksikan ini kali pertama jaguh perseorangan negara tewas kepada pemain England buat kali pertama dalam Thomas Cup sejak edisi 1988 di Kuala Lumpur.
Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek pada ketika itu tewas mengejut di tangan wakil England, Steve Baddeley dengan keputusan 15-11, 15-7.
Malaysia menyamakan mata sebanyak dua kali menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun. Zii Jia memastikan kem negara meraih kemenangan dengan menewaskan Nadeem Dalvi.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu menyifatkan apa yang berlaku dalam perlawanan itu sebagai ingatan buat kem Malaysia.
Ini kerana ini menunjukkan mana-mana negara memiliki potensi mencipta kejutan dalam Thomas Cup. Justeru, Zii Jia melihat Malaysia harus tampil lebih mantap selepas ini.
“Sejujurnya, saya pun tak sangka sampai (kena) 3-2. Ia (keputusan ini) akan menaikkan tahap keterujaan dan kewaspadaan kita untuk perlawanan seterusnya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari selepas perlawanan.
Selepas ini, Malaysia akan menentang Finland dalam aksi kedua kumpulan pada 27 April.