KL Rovers kini selesa di puncak carta Liga A1 Semi Pro setelah membelasah Harini FT di Cheras pada perang Ahad.
Kedua-dua pasukan turun beraksi berbekalkan misi meraih kemenangan berharga setelah keciciran mata apabila masing-masing terikat seri 1-1 minggu lalu menentang PT Athletic dan Manjung City.
Tuan rumah yang dibimbing Wan Mustaffa membariskan nama-nama uang tidak asing lagi seperti Fakhrul Aiman, Faiz Mazlan dan Amer Saidin sementara Harini diketuai oleh A. Salamon bagi merobek gawang lawan.
Perlawanan berlangsung dengan penguasaan bola jelas memihak KL Rovers dengan beberapa asakan bagi menguji kubu lawan yang lebih banyak melakukan serangan balas.
Jaringan yang dicari KL Rovers akhirnya muncul di minit ke-24 menerusi Rafie Mat Yacob sebelum Amirul Hussaini menggandakan kelebihan untuk kedudukan 2-0 sehingga rehat.
Separuh masa tamat, KL Rovers 2-0 Harini FT.
Bersambung babak kedua, pesta jaringan KL Rovers bermula dengan dua sepakan penalti yang disudahkan oleh Amer Saidin pda minit ke-51 dan Rafie Mat Yaacob pada minit ke-58.
Rafie Mat Yaacob melengkapkan hatrik dengan jaringan kelima buat KL Rovers pada minit ke-72 dan pertahanan, Raffi Nagoorgani memastikan petang yang gemilang buat tuan rumah tiga minit sebelum perlawanan tamat.
Aksi di Stadium Cheras berakhir dengan kemenangan besar 6-0 buat KL Rovers.