KL Rovers kempunan memburu pendahulu Liga A1 Semi Pro, Imigresen FC apabila diikat Manjung City FC 1-1 dalam aksi minggu ketiga liga.
KL Rovers tahu mereka perlu menang untuk memberi tekanan kepada juara liga edisi 2023 itu selepas Imigresen meraih satu lagi kemenangan ke atas Machan City. Sementara Manjung City pula mahu mempertahankan rekod kemenangan 100% mereka setakat ini.
Rafie Mat Yaacob terus diberi kepercayaan mengepalai jentera serangan KL Rovers. Sementara cabaran Manjung City pula diketuai kapten, Faizzzwan Dorahim.
Sebaik perlawanan bermula, KL Rovers tampil garang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur untuk memburu kelebihan gol awal.
Pasukan yang dibimbing Wan Mustaffa Wan Ismail itu hampir mendahului pada minit kesembilan menerusi Faiz Mazlan selepas menerima hantaran Sharul Amin Nasharuddin. Malangnya, kuisan yang dibuat Faiz tidak menepati sasaran.
Manjung City makin cemas apabila Amirul Husaini Zamri menguji gawang mereka pada minit ke-19 tetapi berjaya ditepis penjaga gol, Firdaus Suhaimi.
Manjung City hampir mendahului menerusi Asyraaf Mat Pushni pada minit ke-42 selepas menerima hantaran Faizzzwan. Malangnya, cubaannya melorongkan bola ke dalam gawang KL Rovers tersasar.
Kedua-dua pasukan terus memburu gol tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, KL Rovers terus memberi tekanan kepada Manjung City untuk mendapatkan kelebihan gol. Naib juara liga musim 2023 itu kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti.
Ini selepas pengadil, Muhamad Ridzuan Husni mengesan bola terkena tangan pemain Manjung dalam kotak penalti. Penalti itu mudah disempurnakan bekas tonggak Harimau Muda, Amer Saidin pada minit ke-53.
Situasi ini mendorong jurulatih Manjung City, Rafae Isa membuat beberapa pertukaran pemain untuk mengubah kembali momentum perlawanan.
Hasilnya, mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Shahrul Naim Shamsul Hisham pada minit ke-73. Kesilapan penjaga gol KL Rovers, Asyraaf Omar menangkap bola pantas direbut Shahrul Naim yang menolak bola masuk ke dalam gawang.
KL Rovers hampir mendahului buat kali kedua apabila Fakrul Aiman Sidid cuba menanduk hantaran bola ke dalam kotak penalti pada minit ke-88 tetapi disekat Firdaus.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan terus kekal tanpa kalah dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
Selepas ini, KL Rovers akan menentang Harini FT pada 30 Jun. Sementara Manjung City pula menerima kunjungan Melaka FC pada 29 Jun.