Liga Malaysia sekali lagi mencatat pencapaian membanggakan apabila merekodkan peningkatan tertinggi dari segi nilai pasarannya tahun ini.
Umum mengetahui bahawa terdapat pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan juga kelab-kelab untuk meningkatkan nilai komersial pasukan.
Kerjasama strategik dengan beberapa buah syarikat terkemuka juga telah membuka satu lembaran baharu buat bola sepak Malaysia.
Usaha ini mula membuahkan hasil apabila kemas kini terbaru menyaksikan Liga Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 17.8 Juta Euro (RM89 Juta).
Nilai ini lebih tinggi berbanding tahun 2022 iaitu RM186 Juta sekaligus membuktikan Liga Malaysia berada pada landasan yang tepat.
Nilai terbaru Liga Malaysia adalah RM275 Juta (55.24 Juta Euro) dan meletakkan Malaysia sebagai liga yang mencatatkan peningkatan nilai paling tinggi di Asia Tenggara.
Malaysia ketika ini menghuni tangga ketiga liga paling bernilai di belakang Liga 1 Indonesia (RM368 Juta) dan juga Liga 1 Thailand (RM368 Juta).
Kelab paling bernilai di Malaysia pula kekal menjadi milik Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dianggarkan sekitar RM50 Juta.