Dengan saingan Liga Malaysia (Liga M) dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada kalendar antarabangsa FIFA, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) menggunakan tempoh ini dengan memperkenal teknologi bertaraf dunia bagi meningkatkan prestasi pemain.
Ini berdasarkan satu video baru yang dimuatnaik pasukan itu di laman Johor Southern Tigers hari ini. Video tersebut memaparkan pemain muda Harimau Selatan, Adam Farhan Mohd Faisal menjalani T-test di bawah pemantauan jurulatih kecergasan, Angel Acena Rodriguez.
Secara ringkas, T-test ialah ujian kelincahan pemain dengan mengukur kepantasan pemain mengubah arah larian.
Biasanya, pemain perlu membuat larian pendek ke depan, belakang atau sisi sambil menyentuh kon yang ditetapkan. Masa ujian akan dikira sebaik pemain mula melakukan larian dan dihentikan selepas pemain keluar dari zon ujian.
Catatan masa terbaik untuk T-test ialah kurang melebihi 9.5 saat (lelaki) dan 10.5 saat (perempuan). Ini kerana catatan masa ini memberi petunjuk tentang pelbagai aspek seperti kekuatan dan kelajuan kaki serta kelincahan pemain.
Cuma yang sedikit berbeza untuk T-test JDT ialah mereka menggunakan sistem masa Smartspeed. Sistem ini amat popular dalam kalangan entiti sukan di seluruh dunia kerana tepat, boleh diharap dan fleksibel.
Antara pasukan yang menggunakan Smartspeed dalam ujian kecergasan mereka ialah AS Monaco dan Jacksonville Jaguars. Selain entiti sukan, pasukan tentera khas dari Australia dan Amerika Syarikat turut menggunakan peralatan sama bagi menguji kecergasan anggota mereka.
Menariknya, sistem ini turut mendapat pujian Rodriguez kerana ini membantunya menilai tahap kecergasan pemain Harimau Selatan dengan lebih baik.