SSS leopard berjaya melayakkan diri ke final Liga Puteri B-15 selepas tiada masalah menumbangkan FEMI9 pada perlawanan separuh akhir pada Jumaat.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Latihan Sime Darby, SSS Leopard dilihat lebih mendominasi permainan berbanding FEMI9 dari awal permainan.
Jaringan pertama perlawanan dijaringkan oleh pemain tengah SSS Leopard, Qaseh Rania seawal minit kesembilan dan kedudukan 1-0 tersebut kekal sehingga babak pertama berakhir.
FEMI9 yang dibarisi rata-rata pemain berusia 12 tahun cuba memberi saingan namun SSS Leopard terus mempamerkan aksi cemerlang untuk terus menggandakan sekali lagi menerusi Qaseh Rania.
Sepuluh minit berselang, SSS Leopard semakin garang di hadapan apabila giliran Haniz Zahra menjaringkan gol ketiga pasukan untuk menjadikan kedudukan selesa 3-0 buat SSS Leopard.
Pertahanan pasukan FEMI9 terus dihukum setelah pengadil menghadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan salah seorang pemain dan Marissa Hazwani tenang menyudahkan sepakan penalti itu.
Tiada tambahan jaringan sehingga wisel penamat dibunyikan dan keputusan SSS Leopard FC 4-0 FEMI9 kekal sehingga tamat perlawanan.
SSS Leopard FC bakal berhadapan Kelana United FC dalam aksi final pada Ahad selepas Kelana United mengejut Sabah dalam satu lagi aksi separuh akhir.